Monday, 6 June 2011

Bicara Iman~~

Bersyukur ke hadrat Allah s.w.t yang menciptakan kita sebaik-baik kejadian dan sebaik-baik makhluk ciptaan yang ada di muka bumi ini yakni manusia.


Segala pujian hanya bagi Allah s.w.t yang memberi nikmat Islam dan Iman kepada kita. Betapa kasih dan sayangnya Allah s.w.t memberi nikmat ini tanpa kita meminta kepada-Nya. Nikmat inilah yang mengangkat darjat manusia di dunia yang singkat dan fana ini.


Hari ini kita menjadi seorang yang beragama Islam tanpa sedikitpun kesusahan dan kepayahan. Keluar daripada rahim seorang ibu Islam maka Islamlah agama kita. Perkara inilah yang wajib kita syukuri sebanyak-banyaknya. Bukan seperti keadaannya sewaktu zaman para sahabat, mereka mencari Islam dengan penuh kesusahan dan pengorbanan, tidak cukup hanya dengan makian, cacian, hinaan  mereka turut dipulau dan disiksa hanya kerana sebuah agama. Mereka faham dan yakin bahawa hanya agama Islam agama yang benar, agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w yang mampu menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat.


Walaupun tidak sama caranya kita memperoleh nikmat Islam pada hari ini dengan mereka namun kita dan mereka berkongsi satu matlamat dan tujuan yang sama. Allah s.w.t menciptakan kita tidak lain hanya dengan tujuan menyempurnakan iman kepada Allah s.w.t, memperbetulkan yakin kepada Allah s.w.t dan menjadikan Islam sebagai sebuah cara kehidupan. Allah s.w.t berkehendakkan iman yang sempurna tanpa sedikitpun syikir terhadap-Nya.


Iman yang sempurna adalah iman yang yakin sepenuhnya keatas kekuasaan dan pentadbiran Allah s.w.t tidak sedikitpun adanya cela dengan keyakinan selain daripada-Nya. Meyakini bahawa tiada yang menghidupkan dan mematikan melainkan Allah s.w.t, tiada yang memberi mudarat dan manfaat melainkan Allah s.w.t, tiada yang memberi rezeki melainkan Allah s.w.t dan begitulah yakin kita kepada apapun jua perkara tiada yang berkuasa melainkan Allah s.w.t.


Hakikatnya pada hari ini keyakinan itu begitu jauh dari hati umat Islam. Terus menerus melakukan dosa tanpa sedar bahawa boleh sahaja Allah s.w.t mencabut nyawa ketika itu juga. Tidak sedikitpun amal diusahakan untuk bekalan akhirat kerana keyakinan pudar bahawa Allah s.w.t menghidupkan yang telah mati untuk dihisab amalannya ketika hidup di dunia.


Bencana yang turun dianggap fenomena semulajadi dunia yang semakin tua walhal turunnya ia sebagai sebuah amaran daripada Allah s.w.t  kepada manusia yang tidak pernah kenal erti dosa. Segala kesenangan yang dikecapi melalaikan diri daripada bersyukur kepada Allah s.w.t kerana alpa bahawa dunia ini singgahan sementara dan apa-apa yang berada didalamnya juga sementara samada kita meninggalkan dunia ini terlebih dahulu atau bersama-sama saat kebinasaan dan kehancurannya.


Mengusahakan dunia lebih daripada mengusahakan akhirat. Bekerja adalah sebuah ibadah namun harus difikir bahawa rezeki seseorang Allah telah tentukan kadarnya dan haruslah diusahakan mengikut kadar waktu yang telah disyariatkan. Kita diberi tempoh lapan jam sehari untuk mencari rezeki, waktu rehat mengikut kesesuaian tetapi tidak lebih daripada lapan jam sehari, dan lapan jam lagi adalah untuk beribadah kepada Allah. Tetapi sempurnakah lapan jam tersebut dengan amal ibadah, solat fardu lima waktu hanya mengambil kira-kira dua jam setengah jika berjemaah, bakinya adakah terluang dengan membaca al-Quran, berdakwah, berzikir, mempelajari ilmu dan amal-amal soleh yang lain. Tepuk dada tanyalah amal dan iman, sedangkan kita disyariatkan menyeimbangi dunia dan akhirat.


Semua ini tidak terjadi jika pada hati sanubari punya iman yang sempurna kepada Allah s.w.t. Iman dapat membezakan amal yang baik dengan amal yang buruk, dapat membezakan yang halal dan haram, membawa kepada amal kebaikan, melindung daripada kejahatan, menghalang daripada seksaan api neraka jahanam dan mendapat syurga seperti yang telah dijanjikan.

No comments:

Post a Comment