Bagi mencari jodoh mestilah berpegang pada syariat Islam yang memang diturunkan untuk kemashalatan manusia. Disini terdapat beberapa tip mencari jodoh yang dapat dimanfaatkan:
Memohon Kepada Allah SWT
Meminta kepada Allah SWT adalah yang utama kerana memohon kepada Yang Maha Pencipta. Dia yang menciptakan manusia berpasang-pasangan. Memohon kepada Allah SWT dengan meminta jodoh yang diredhai-Nya adalah keperluan penting manusia kerana kejayaan manusia mendapat jodoh berpengaruh besar dalam kehidupan dunia dan akhirat seseorang.
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
(Al-Baqarah: ayat 186)
Doa yang baik untuk mendapatkan jodoh terdapat dalam Al-Quran:
“Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa.”
(Al-Furqan: ayat 74)
Restu Ibu Bapa
Ibu bapa adalah insan yang sangat rapat dengan kita, mereka tahu yang terbaik untuk anak mereka dalam pelbagai hal termasuklah jodoh. Hanyalah kebahagiaan yang diharapkan oleh mereka untuk anak yang tercinta. Perkahwinan yang direstui oleh ibubapa pasti mendapat redha daripada Allah SWT. Pada zaman Rasulullah, baginda SAW dan para sahabatnya segera menikahkan anak perempuan masing-masing setelah mendapati jodoh yang baik untuk anak-anak mereka. Ini sebagaimana yang diceritakan oleh Fatimah binti Qais, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya, “Kahwinlah dengan Usamah, lalu aku berkahwin dengannya, maka Allah menjadikan kebaikan padanya dan keadaanku baik dan menyenangkan dengannya.” (HR Muslim)
Bila dah Suka Sama Suka Please Jangan Couple
Calon sudah dikenali terlebih dahulu dan dia berakhlak Islami menurut kebanyakan orang yang dekat dengannya (temannya atau ahli keluarganya). Namun bercinta (couple) tetap dilarang oleh islam. Jika masing-masing sudah serasi maka segeralah melamar dan berkahwin. Kadangkala yang tertarik terlebih dahulu adalah muslimahnya, maka dia boleh menawarkan dirinya kepada lelaki soleh yang disenangi itu. Namun, perbuatan seperti ini belum lazim ditengah-tengah masyarakat kita. Tetapi ianya tidak salah bukan, kerana muslimah itu menginginkan seorang suami yang soleh dan menjadikan perkahwinan jambatan menuju pertalian yang diredhaiNya.
Sebuah cerita yang baik dikemukakan oleh Abdul Halim Abu Syuqqoh pengarang buku Tahrirul Mar’ah, bahawa seorang temannya didatangi oleh seorang wanita untuk mengajaknya berkahwin. Temannya itu berasa terkejut dan hairan. Wanita itu bertanya kepadanya, “Apakah saya mengajak saudara melakukan sesuatu yang haram? Saya hanya mengajak saudara berkahwin sesuai dengan sunnah Rasulullah SAW.” Maka terjadilah perkahwinan selepas itu.
Memperbaiki diri
Jika kita ingin mendapatkan jodoh yang baik, kita seharusnya menjadi seorang yang baik juga. Itulah maksud Allah SWT dalam firmanNya:
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)
(An-Nur: ayat 26)
Memperbaiki diri disini ada dua pengertiannya, zahiriah dan batiniah. Secara zahiriah, kita perlu menjadi orang yang bersih, rapi dan menjaga bau badan. Tidak perlu berhias berlebih-lebihan, tetapi perlu kelihatan menarik, mata sejuk memandang. Secara batiniah pula, sebahagian orang ingin mendirikan rumahtangga sangat berharap mendapatkan jodoh yang soleh, tetapi malangnya dia sendiri orang yang tidak soleh. Ini ibarat pungguk merindukan bulan. Justeru, jadilah soleh untuk mendapat solehah, begitu juga sebaliknya.
No comments:
Post a Comment