Thursday, 29 September 2011

Surat untuk calon Isteriku ~~~

Assalamualaikum wrh wbt

Untuk Ummi, calon isteriku….

Tangan ini mahu menulis sesuatu tentang apa yang ada di lubuk hatiku. Aku mulai tertanya-tanya apakah aku sudah seharusnya mulai mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya. Seringkali aku mendengar ungkapan “Kau tercipta untukku.”


Aku awalnya kurang mengerti apa sebenarnya maksud kalimat itu kerana diliputi oleh hawa nafsu. Rahmat dan hidayah Allah SWT yang diberikan kepada diriku, baru kini aku mengerti bahawa pada suatu hari nanti aku harus mengambil satu tanggungjawab yang memang diciptakan khusus untuk diriku, iaitu dirimu. Aku mulai mempersiapkan diri dari segi fizikal, spiritual dan juga intelektual untuk bertemu denganmu.


Aku mahu pada pertemuan kita yang pertama aku kelihatan ‘sempurna’ dihadapanmu meskipun pada hakikatnya masih banyak lagi kelemahan pada diriku ini. Aku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggungjawab yang harus aku wujudkan ketika dipertemukan dengan dirimu. Aku cuba membatasi hubungan perbicaraan dengan wanita lain yang hanya dalam lingkaran urusan penting kerana aku risau menceritakan rahsia diriku kepadanya kerana seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya kerana dirimu adalah sebahagian daripadaku dan hakmu mengetahui segala zahir dan batin diriku ini.


Apabila aku memakai kopiah, aku disangka ustaz. Apabila aku memakai jubah, aku disangka syeikh. Lidahku mengajak manusia kearah makruf disangka da’i. Bukan itu yang aku pinta kerana aku hanya mengharapkan keredhaan Allah. Yang aku takuti, diriku mulai didekati wanita kerana paras rupaku dan perwatakanku. Baik yang indah berjilbab atau tidak, semuanya singgah disisiku. Aku risau imanku akan lemah. Diriku tidak dapat menahan fitnah ini. Rasulullah SAW pernah bersabda, “Aku tidak meninggalkan setelahku fitnah yang lebih bahaya untuk seorang lelaki melainkan wanita.”


Jiwa dewasaku ini mulai mencari cintanya dan kehadiran seorang wanita amat didambakan. Setiap kali aku merasakannya, aku mengenangkan dirimu. Di sana Engkau setia menunggu diriku, tetapi di sini aku curang kepadamu andai aku bermain dengan cinta fatamorgana. Sampaikan doamu kepada diriku agar aku dapat menahan gelora nafsuku disamping aku sendiri berdoa melindungi diri.


Bukan harta, rupa paras dan keturunan yang aku lihat dalam mencari dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih antara kita. Ketika dimana aku melamarmu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar tercipta keserasian diantara kita kerana itu pesan Nabi kita. Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah bak delima tetapi cukuplah cuma akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi.


“Nikahilah wanita kerana empat perkara, keturunannya, hartanya, rupanya dan agamanya. Dan jika kamu memilih agama engkau tidak akan menyesal.”


Jika aku dipertemukan dengan dirimu, akan ku jaga perasaan kasih ini supaya tidak tercurah sebelum masanya. Akan ku jadikan syara’ sebagai pembatas diri kita. Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai cop halal untuk mendapatkan dirimu. Biarlah kita mengikut amalan nenek moyang kita, nabi Adam dan Siti Hawa yang terpisah jauh sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan pernikahan yang menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian batin. Doakan diriku ini agar tidak berputus asa dan sesat dalam misi mencari dirimu kerana aku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agamaku.










Wednesday, 28 September 2011

Fi dunniya hasanah ~~~

Setiap kali berdoa, kita biasanya tidak meninggalkan untuk membaca doa ini. Doa ini berbunyi, “Rabbana atina fi dunniya hasanah wa fil akhirati hasanah waqina ‘azabannar”. Ertinya, “Wahai Tuhan Kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksaan api neraka.”


Kalimat “fi dunniya hasanah”, mengandungi makna yang penting. Paling tidak ada tujuh perkara yang akan diperoleh seorang muslim jika doanya dikabulkan oleh Allah SWT.


Pertama ~ Perasaan syukur kepada Allah SWT. Setiap muslim akan selalu bersyukur atas apa yang diperolehnya selama dia berada di dunia. Apapun ketentuan Allah SWT kepadanya. Ketika diberi kenikmatan, dia semakin bersyukur dan ketika diberi musibah dia akan bersabar. Orang-orang yang selalu bersyukur kepada-Nya, “Lain syakartum laazidannakum” ertinya, “Apabila kalian bersyukur nescaya akan Ku tambah nikmat-Ku kepadamu.”


Kedua ~ Memiliki Pendamping yang soleh/solehah. Setiap muslim yang diberi kebaikan di dunia akan diberi pendamping yang baik. Seorang lelaki akan mendapatkan isteri yang solehah. Begitu pula seorang wanita akan mendapatkan suami yang soleh.


Ketiga ~ Memiliki anak yang soleh dan solehah. Memiliki anak yang soleh dan solehah adalah harapan setiap ibu bapa Muslim. Anak yang soleh atau solehah adalah pelaburan terbaik setiap Muslim. Kesolehan seorang anak memberikan manfaat kepada keluarga, bangsa, dan agamanya. Sudah tentu pahalanya akan mengalir deras kepada kedua ibubapanya.


Keempat ~ Memiliki harta yang berkat. Harta yang berkat bukanlah bererti banyak melimpah-ruah. Keberkatan harta tidak ada kaitan dengan jumlah. Tetapi, harta yang berkat adalah harta yang boleh memberi manfaat bagi pemiliknya dan orang lain. Harta tersebut diperoleh dengan cara yang halal dan digunakan untuk keperluan fi sabilillah. Harta itu akan menjadi jalan amal soleh bagi pemiliknya.


Kelima ~ Tidak memiliki hutang. Memiliki hutang tidaklah dilarang dalam ajaran Islam. Hanya sahaja, hutang boleh menyebabkan hidup seseorang kurang selesa dan bahagia. Biasanya, orang yang memiliki hutang kurang dihargai oleh orang lain, lebih-lebih lagi orang yang memberikan piutang. Setiap Muslim harus berusaha melunasi hutangnya dengan bersungguh-sungguh. Sebab, hutang boleh menyebabkan seseorang itu ditangguhkan dari masuk syurga sebelum hutangnya dilunasi, meskipun dia mati dalam jihad fi sabilillah.



Keenam ~ Ilmunya bermanfaat. Banyak orang yang memiliki ilmu, namun hanya sedikit ilmunya yang bermanfaat. Orang-orang yang mendapatkan kebaikan di dunia (fi dunniya hasanah), jika memiliki ilmu maka ilmunya akan bermanfaat bagi agama dan orang lain.




Ketujuh ~ Umurnya berkat. Usia yang berkat, tidak ada kaitan dengan usia yang panjang. Seseorang yang umrnya berkat selalu menjadikan setiap detik adalah waktu yang berharga yang tidak akan disia-siakannya. Sepanjang usianya, dia gunakan untuk beribadah, beramal, dan berdakwah. Dia sebarkan manfaat kepada siapapun. Dia berkawan dengan orang-orang soleh agar mendapat tempias keberkatan hidup. Baginya, tidak ada waktu kecuali beramal, beramal, dan beramal.


Berdoalah dengan doa ini dalam keadaan hati yang bersih lagi tenang, tidak lalai dan penuh pengharapan agar Allah SWT mengabulkan doa kita.

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Berdoalah kepada Allah SWT, sedangkan kalian yakin akan dikabulkan doa kalian. Ketahuilah bahawa Allah SWT tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai.”
(HR Tirmizi 3401)

Monday, 26 September 2011

Ke Jalan Yang Lurus~~~


Seandainya Engkau tak sayang padaku..
Tak ku kenal siapa diriku..
Seandainya Engkau tak kasih padaku..
Takku tahu arah hidupku..

Terombang ambing nun di lautan..
Yang dalam tiada bertepian..
Tenggelam hanyut di kegelapan..
Tersesat arah tujuan..

Kini ku mencari cahaya-Mu Kasih..
Menerangi jalan hidupku..
Maafkanlah aku yang selama ini..
Tak bersyukur pada-Mu..

Baru ku sedar dan menginsafi..
Kesilapanku Ya Ilahi..
Sesungguhnya hidup tiada erti..
Bila Engkau tak dikasihi..

Aku bersujud..
Hanya untuk merindui-Mu..
Aku berdoa..
Hanya untuk menyintai-Mu..
Aku berharap..
Diberikan hidayah-Mu..
Aku bermohon..
Ampunilah hamba-Mu..

Oh Tuhanku..
Tunjukkanlah jalan lurus yang Engkau Redhai..

Sunday, 25 September 2011

Tips Cari Jodoh

Bagi mencari jodoh mestilah berpegang pada syariat Islam yang memang diturunkan untuk kemashalatan manusia. Disini terdapat beberapa tip mencari jodoh yang dapat dimanfaatkan:


Memohon Kepada Allah SWT

Meminta kepada Allah SWT adalah yang utama kerana memohon kepada Yang Maha Pencipta. Dia yang menciptakan manusia berpasang-pasangan. Memohon kepada Allah SWT dengan meminta jodoh yang diredhai-Nya adalah keperluan penting manusia kerana kejayaan manusia mendapat jodoh berpengaruh besar dalam kehidupan dunia dan akhirat seseorang.

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
(Al-Baqarah: ayat 186)


Doa yang baik untuk mendapatkan jodoh terdapat dalam Al-Quran:

“Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa.”
(Al-Furqan: ayat 74)



Restu Ibu Bapa

Ibu bapa adalah insan yang sangat rapat dengan kita, mereka tahu yang terbaik untuk anak mereka dalam pelbagai hal termasuklah jodoh. Hanyalah kebahagiaan yang diharapkan oleh mereka untuk anak yang tercinta. Perkahwinan yang direstui oleh ibubapa pasti mendapat redha daripada Allah SWT. Pada zaman Rasulullah, baginda SAW dan para sahabatnya segera menikahkan anak perempuan masing-masing setelah mendapati jodoh yang baik untuk anak-anak mereka. Ini sebagaimana yang diceritakan oleh Fatimah binti Qais, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya, “Kahwinlah dengan Usamah, lalu aku berkahwin dengannya, maka Allah menjadikan kebaikan padanya dan keadaanku baik dan menyenangkan dengannya.” (HR Muslim)



Bila dah Suka Sama Suka Please Jangan Couple

Calon sudah dikenali terlebih dahulu dan dia berakhlak Islami menurut kebanyakan orang yang dekat dengannya (temannya atau ahli keluarganya). Namun bercinta (couple) tetap dilarang oleh islam. Jika masing-masing sudah serasi maka segeralah melamar dan berkahwin. Kadangkala yang tertarik terlebih dahulu adalah muslimahnya, maka dia boleh menawarkan dirinya kepada lelaki soleh yang disenangi itu. Namun, perbuatan seperti ini belum lazim ditengah-tengah masyarakat kita. Tetapi ianya tidak salah bukan, kerana muslimah itu menginginkan seorang suami yang soleh dan menjadikan perkahwinan jambatan menuju pertalian yang diredhaiNya.

Sebuah cerita yang baik dikemukakan oleh Abdul Halim Abu Syuqqoh pengarang buku Tahrirul Mar’ah, bahawa seorang temannya didatangi oleh seorang wanita untuk mengajaknya berkahwin. Temannya itu berasa terkejut dan hairan. Wanita itu bertanya kepadanya, “Apakah saya mengajak saudara melakukan sesuatu yang haram? Saya hanya mengajak saudara berkahwin sesuai dengan sunnah Rasulullah SAW.” Maka terjadilah perkahwinan selepas itu.



Memperbaiki diri

Jika kita ingin mendapatkan jodoh yang baik, kita seharusnya menjadi seorang yang baik juga. Itulah maksud Allah SWT dalam firmanNya:

“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)
(An-Nur: ayat 26)


Memperbaiki diri disini ada dua pengertiannya, zahiriah dan batiniah. Secara zahiriah, kita perlu menjadi orang yang bersih, rapi dan menjaga bau badan. Tidak perlu berhias berlebih-lebihan, tetapi perlu kelihatan menarik, mata sejuk memandang. Secara batiniah pula, sebahagian orang ingin mendirikan rumahtangga sangat berharap mendapatkan jodoh yang soleh, tetapi malangnya dia sendiri orang yang tidak soleh. Ini ibarat pungguk merindukan bulan. Justeru, jadilah soleh untuk mendapat solehah, begitu juga sebaliknya.