Wednesday, 10 August 2011

Sahabat Setia Lagi Sejati~~


Hazrat Sa’id bin Sulaim r.a telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Pada hari kiamat, tidak ada pemberi syafaat yang lebih tinggi di sisi Allah SWT melainkan al-Quran, bukan nabi dan bukan juga malaikat dan lain-lain.” (Hadith Riwayat ‘Abdul Malik bin Habib demikian dalam Syarah Ihya ‘Ulumuddin)


Kenyataan bahawa al-Quran adalah pemberi syafaat dan kedudukan syafaat al-Quran adalah tinggi sehingga syafaat itu diterima telah diketahui daripada beberapa hadith yang lain juga. Semoga Allah SWT dengan rahmatNya menjadikan al-Quran itu pemberi syafaat kepada kita semua. Semoga Allah SWT tidak menjadikan al-Quran sebagai penentang atau pendakwa terhadap kita.


Dalam kitab La-aalie Masnu’ah telah diriwayatkan daripada Bazzar bahawa terdapat sebuah hadith yang tidak termasuk dalam hadith maudhu’ (palsu), “Apabila seorang itu meninggal dunia dan semasa keluarganya masih sibuk menguruskan pengkafanan dan pengkebumiannya, seorang yang sangat kacak akan berdiri dikepala mayat itu. Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan berada diantara dada mayat dan kain kafan.


Apabila mayat itu selesai dikebumikan, Orang ramai pun pulang dan datanglah dua malaikat, Munkar dan Nakir. Mereka cuba memisahkan orang kacak itu daripada mayat tersebut supaya pertanyaan dapat dibuat tanpa sebarang gangguan. Namun orang kacak itu berkata, “Dia adalah teman saya, dia adalah sahabat saya. Saya tidak akan meninggalkannya berseorangan dalam apa-apa keadaan pun. Sekiranya kamu diperintahkan untuk menyoalnya maka jalankanlah tugas kamu. Saya tidak akan berpisah dengannya sehinggalah saya membawanya masuk ke dalam syurga.”


Selepas itu dia akan berpaling ke arah temannya itu lalu berkata, “Sayalah al-Quran yang kadang-kadang kamu baca dengan suara yang kuat dan kadang-kadang dengan perlahan. Janganlah kamu bimbang, selepas persoalan Munkar dan Nakir engkau tidak akan ada apa-apa kebimbangan lagi.” Apabila pertanyaan selesai, orang kacak itu akan menyediakan hamparan dan sebagainya dari al-Malai’l A’ala (malaikat-malaikat di langit). Hamparan itu daripada sutera dan dipenuhi dengan kasturi. Semoga Allah SWT dengan rahmatNya menganugerahkan kepada kita semua dengan nikmat ini.


Sahabat yang baik-baik di dunia telah kita perolehi, sekarang sudah tiba masa untuk berkenalan pula dengan sahabat dan peneman setia di alam akhirat nanti. Sahabat itu sentiasa merindui untuk bersua mesra dengan kita namun sering kali kita tidak mengendahkannya. Marilah kita bersama-sama mendekatinya di bulan mulia ini. Semoga berkat Ramadhan tahun ini kita kembali rapat bersamanya dan mengekalkan hubungan persahabatan ini hingga ke akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment