Thursday, 29 September 2011

Surat untuk calon Isteriku ~~~

Assalamualaikum wrh wbt

Untuk Ummi, calon isteriku….

Tangan ini mahu menulis sesuatu tentang apa yang ada di lubuk hatiku. Aku mulai tertanya-tanya apakah aku sudah seharusnya mulai mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya. Seringkali aku mendengar ungkapan “Kau tercipta untukku.”


Aku awalnya kurang mengerti apa sebenarnya maksud kalimat itu kerana diliputi oleh hawa nafsu. Rahmat dan hidayah Allah SWT yang diberikan kepada diriku, baru kini aku mengerti bahawa pada suatu hari nanti aku harus mengambil satu tanggungjawab yang memang diciptakan khusus untuk diriku, iaitu dirimu. Aku mulai mempersiapkan diri dari segi fizikal, spiritual dan juga intelektual untuk bertemu denganmu.


Aku mahu pada pertemuan kita yang pertama aku kelihatan ‘sempurna’ dihadapanmu meskipun pada hakikatnya masih banyak lagi kelemahan pada diriku ini. Aku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggungjawab yang harus aku wujudkan ketika dipertemukan dengan dirimu. Aku cuba membatasi hubungan perbicaraan dengan wanita lain yang hanya dalam lingkaran urusan penting kerana aku risau menceritakan rahsia diriku kepadanya kerana seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya kerana dirimu adalah sebahagian daripadaku dan hakmu mengetahui segala zahir dan batin diriku ini.


Apabila aku memakai kopiah, aku disangka ustaz. Apabila aku memakai jubah, aku disangka syeikh. Lidahku mengajak manusia kearah makruf disangka da’i. Bukan itu yang aku pinta kerana aku hanya mengharapkan keredhaan Allah. Yang aku takuti, diriku mulai didekati wanita kerana paras rupaku dan perwatakanku. Baik yang indah berjilbab atau tidak, semuanya singgah disisiku. Aku risau imanku akan lemah. Diriku tidak dapat menahan fitnah ini. Rasulullah SAW pernah bersabda, “Aku tidak meninggalkan setelahku fitnah yang lebih bahaya untuk seorang lelaki melainkan wanita.”


Jiwa dewasaku ini mulai mencari cintanya dan kehadiran seorang wanita amat didambakan. Setiap kali aku merasakannya, aku mengenangkan dirimu. Di sana Engkau setia menunggu diriku, tetapi di sini aku curang kepadamu andai aku bermain dengan cinta fatamorgana. Sampaikan doamu kepada diriku agar aku dapat menahan gelora nafsuku disamping aku sendiri berdoa melindungi diri.


Bukan harta, rupa paras dan keturunan yang aku lihat dalam mencari dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih antara kita. Ketika dimana aku melamarmu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar tercipta keserasian diantara kita kerana itu pesan Nabi kita. Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah bak delima tetapi cukuplah cuma akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi.


“Nikahilah wanita kerana empat perkara, keturunannya, hartanya, rupanya dan agamanya. Dan jika kamu memilih agama engkau tidak akan menyesal.”


Jika aku dipertemukan dengan dirimu, akan ku jaga perasaan kasih ini supaya tidak tercurah sebelum masanya. Akan ku jadikan syara’ sebagai pembatas diri kita. Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai cop halal untuk mendapatkan dirimu. Biarlah kita mengikut amalan nenek moyang kita, nabi Adam dan Siti Hawa yang terpisah jauh sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan pernikahan yang menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian batin. Doakan diriku ini agar tidak berputus asa dan sesat dalam misi mencari dirimu kerana aku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agamaku.










No comments:

Post a Comment