Wednesday, 25 May 2011

Teguran Rasulullah S.A.W kepada sahabat yang ketawa

Suatu ketika Rasusulullah s.a.w dalam perjalanan untuk menunaikan solah lalu Baginda s.a.w  ternampak satu kumpulan orang yang sedang ketawa berdekah-dekah sehingga menampakkan gigi. Rasulullah s.a.w bersabda, “Sekiranya kamu banyak mengingati maut pasti tidak akan berlaku keadaan yang saya lihat ini.”


Oleh itu perbanyakkanlah mengingati maut. Tiada satu hari pun berlalu tanpa  kubur berkata, “Akulah rumah kesunyian, rumah keseorangan, rumah debu dan rumah ulat-ulat.”

Apabila seorang mukmin dimasukkan ke dalam kubur maka kubur akan berkata, “Kedatanganmu dialu-alukan, tersangat baik kerana kamu telah datang kepadaku. Daripada manusia yang berjalan di atas permukaan bumi, engkaulah yang aku paling sukai. Hari ini engkau telah datang kepadaku, engkau akan melihat sebaik-baik layananku.

Selepas itu kubur akan meluas sejauh mata memandang. Kemudian akan terbuka satu pintu yang melalui pintu itu akan masuk bayu dan wangi-wangian dari syurga secara berterusan.

Apabila orang berdosa dimasukkan, kubur akan berkata, “Tiada kata-kata aluan untuk kedatanganmu. Sangat jelek kedatanganmu. Daripada kalangan manusia yang berjalan di atas muka bumi engkaulah yang paling aku benci. Hari ini engkau telah diserahkan kepadaku, engkau akan melihat layanan daripadaku.

Selepas itu kubur akan menghimpitnya sehingga tulang-tulang rusuk akan berceragah antara satu sama lain. Kemudian tujuh puluh ekor ular akan dilepaskan ke atasnya. Sekiranya seekor sahaja daripada ular itu menghamburkan bisa ke atas bumi, maka sehelai rumput pun tidak akan tinggal. Ular itu akan terus mematuk orang tersebut hingga ke hari kiamat. Selepas itu Rasulullah s.a.w bersabda, “Kubur merupakan satu kebun daripada kebun-kebun syurga atau pun satu lembah daripada lembah-lembah neraka.” (Misykat)

Takutkan Allah s.w.t ialah perkara yang sangat-sangat perlu lagi penting. Perkara inilah yang menyebabkan Rasulullah s.a.w sering duduk merenung. Mengingati maut akan menambahkan sifat takut kepada Allah s.w.t. Oleh sebab itulah, Rasulullah s.a.w menyarankan supaya kita sering mengingati maut kerana amalan ini penting lagi pula memberi manfaat.

No comments:

Post a Comment