Sunday, 10 July 2011

Al-Asr 2

Al-Asr 2 ni nak beritahu sebuah amalan yang baik untuk diamalkan setiap kali sebelum masuk tidur. Diharapkan dapat memberi manfaat bersama demi kebaikan kita di dunia dan akhirat.

Daripada Jubair r.a, beliau berkata: “Adalah Nabi SAW tidak tidur hingga membaca Surah As-Sajdah dan Al-Mulk.”


Surah As-Sajdah (bererti sujud) adalah Surah yang ke-32 di dalam Al-Quran mengandungi 30 ayat. Ia dinamakan As-Sajdah kerana terdapat ayat yang menerangkan perihal orang-orang beriman, apabila mendengar ajaran kitab Allah SWT lalu sujud sebagai tanda bersyukur atas segala nikmat Allah. Selain dari itu ditegaskan dasar tauhid dan dalil-dalil yang menbuktikan keesaan Allah SWT, disamping ia mengurniakan taufiq dan hidayah kepada umat Islam.


Terdapat faedah dan hikmah kepada mereka yang mengamalkan membaca surah ini iaitu:

a.       Melindungi pembacanya dari seksa kubur.
b.      Mendapat pahala yang besar seperti pahala mereka yang tetap solatnya pada malam Lailatul-Qadar.
c.       Mendapat hidayah ilmu yang yakin.
d.      Dikuniai cahaya (nur) pada dirinya semasa ia mati.


Surah Al-Mulk adalah diantara surah yang besar kemuliannya dan digalakkan agar kita selalu membacanya. Sebagaimana seruan Baginda SAW,


Daripada Ibnu Abbas r.a beliau mendengar Rasulullah SAW telah bersabda, “Saya suka jikalau surah (tabarokal ladzii biyadihilmulk) itu berada (dihafaz) di dalam tiap-tiap hati orang mukmin.”

(Hadith Riwayat Hakim)


Surah ini mendatangkan syafaat pada hari kiamat menjadi seperti peguam bela di hadapan Allah bagi pihak orang yang membacanya sehingga terlepas daripada soalan-soalan Allah SWT, mempertahankan orang mati dalam kubur sehingga reselamat daripada seksa kubur.


Mengenai syafaat pada hari kiamat sebuah hadith daripada Abu Hurairah r.a berbunyi.


“Sesungguhnya ada suatu surah di dalam Al-Quran sebanyak tiga puluh ayat yang memintakan syafaat untuk seseorang (yang membacanya) sehingga orang itu diampunkan oleh Allah SWT iaitu (tabarokal ladzii biyadihilmulk)

(Hadith Riwayat Tarmizi)


Surah ini juga bererti surah yang membela atau mempertahankan orang yang membacanya di dalam mahkamah Allah SWT pada hari kiamat. Pada hari itu tiadalah ada seorang peguam pun yang akan boleh membela seorang itu di hadapan Allah SWT kerana pada masa itu segala anggota tubuh badan manusia akan berkat-kata mengakui kesalahan yang diperbuat oleh tuannya ketika di dunia. Maka surah Tabaraka ini boleh dianggap sebagai peguam atau pembela, sebagaimana disebutkan di dalam hadith daripada Anas r.a


“Ada suatu surah di dalam Al-Quran yang membela bagi pihak tuannya sehingga dia dimasukkan ke dalam syurga iaitulah (tabarokal ladzii biyadihilmulk).”

(Hadith Riwayat Tabharani)



Berkenaan faedah surah ini ketika seorang berada di dalam alam kematian (di dalam kubur) ialah menahan datangnya seksa kubur, ini diterangkan di dalam hadith daripada Rofik bin Khadij r.a dan Abu Hurairah r.a,


“Telah diturunkan kepada saya surah (Tabarak) sebanyak 30 ayat sekaligus dan dialah surah yang menahan (daripada seksa kubur) di dalam kubur.”

(Hadith Riwayat Ibnu Marduwiyah)



Demekianlah kebesaran surah Tabarak. Betapa Allah SWT menyayangi kita dengan menganugerahkan kepada kita surah ini, lebih kurang 30 minit sahaja masa yang diperlukan untuk membaca kedua-dua surah ini dan kita mendapat ganjaran yang sangat besar.
SUBHANAULLAH…


Ermmm..nak tunggu apa lagi jom kita sama beramal..
Semoga Allah memberi kita segala kekuatan untuk membaca kedua surah ini secara istiqomah dan mendapat taufik untuk memahami isi kandungannya..